Contoh Karangan Langkah Mengatasi Isu Pati
Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita
telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama.
Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan
memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah
mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh
yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.
Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak
berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai
dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut
hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak
tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk
menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih
kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan
menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah
PATI di negara kita.
Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan
penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang
masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan
sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini.
Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk
hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan
tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi
kesalahan yang dilakukan.
Di samping itu, semua pihak yang berkuasa
wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar
semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti
Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung
limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan
mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara
kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini
amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan
pihak kerajaan.
Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing
tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika
tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan.
Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan
berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan.
Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan
rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan
permit kerja yang sah sahaja.
Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan
kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung
kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian
Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan.
Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi
menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang
sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara
lebih teratur dan terkawal.
Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja
asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat
dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang
tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan
memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.
Contoh lain :
Contoh lain :