Ad Code

Responsive Advertisement

Kesan revolusi perindustrian di England

Contoh Karangan Kesan revolusi perindustrian di England

Pengenalan

Revolusi perindustrian bermaksud proses perubahan sebuah ekonomi yang mudah kepada satu ekonomi yang kompleks. Revolusi perindustrian berlaku dalam 2 tahap iaitu tahap pertama berlaku di England pada tahun (1760 – 1860). Manakala tahap kedua pula revolusi perindustrian telah berkembang ke bahagian barat benua Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun antara tahun (1860 – 1914).  Revolusi Perindustrian juga memperlihatkan England berubah daripada negara agraria (pertanian) kepada negara perindustrian serta menyebabkan berlakunya pertumbuhan kadar urbanisasi yang pesat dan pertambahan penduduk yang tinggi.

Revolusi perindustrian yang berlaku di England telah mendatangkan pelbagai kesan      dalam bidang ekonomi.  Antara kesan Revolusi Perindustrian dalam bidang ekonomi ialah kemajuan dalam pertanian, perkembangan dalam industri tekstil, kemunculan bandar perusahaan, perdagangan, kemajuan dalam pengangkutan serta perkembangan dalam industri batu, besi, dan keluli.   
 

Isi-isi Penting

Kesan Ekonomi

(1) Kemajuan Dalam Pertanian

Revolusi Perindustrian telah menyebabkan berlaku perubahan dalam sistem pemilikan tanah perjanjian.  Sistem Pemagaran Tanah Pertanian diperkenalkan menggantikan Sistem Tanah Terbuka.  Melalui Akta Pemagaran Tanah banyak tanah awam dijadikan tanah ladang yang lebih luas. Sistem tanaman bergilir  diperkenalkan oleh Lord Townshed.  Dalam sistem penggiliran tanaman, tanah rang tidak wujud.  Sebaliknya tanah rang ditanam dengan tanaman rumput untuk mengekalkan kandungan nitrogen di dalam tanah. 

Sistem pengurusan ladang yang teratur dan sistematik diperkenalkan oleh Coke of Holkham.  Beliau member sumbangan dalam kaedah menebus guna tanah pertanian.  Beliau memperkenalkan tanaman akar seperti lobak putih, parnsnip, Swedes, dan mangolds. Robert Bakewell memperkenalkan kaedah baharu dalam penternakan biri-biri dan lembu.  Beliau mempercepatkan pembesaran binatang ternakan dan menghasilkan baka biri-biri yang terbaik.

Petani juga mengamalkan sistem pertanian campuran yang melibatkan aktiviti pertanian dan penternakan. Petani juga terlibat dalam menanam rumput dalam kawasan pertanian yang sama. Penglibatan dalam aktiviti pertanian dan penternakan menambahkan pendapatan petani. Kemajuan dalam pertanian menyebabkan pelbagai kaedah baharu diperkenalkan. Jethro Tull telah memperkenalkan alat penggali dan penabur benih. Alat ini digunakan untuk menggali lubang dan menabur benih pada jarak tertentu.  Kaedah ini juga memudahkan petani kerja menggemburkan dan membersihkan tanah pertanian.

 (2) Perkembangan Dalam Industri Tekstil

Revolusi Perindustrian telah menyebabkan berlaku kemajuan dalam industri tekstil. Penemuan mesin baharu menyebabkan industri tekstil berkembang dengan pesat. Penciptaan mesin ini telah meningkatkan pengeluaran kain kapas di England.  John Kay, James Hargreaves, Edmund Cartwight, Sir Richard Arkwight, dan Samuel Crompton merupakan tokoh yang mencipta mesin dalam industri tekstil.

 (3) Kemunculan Bandar Perusahaan

Revolusi Perindustrian menyebabkan penduduk berhijrah ke bandar untuk bekerja di kilang.  Perkembangan ini menyebabkan muncul bandar perusahaan seperti Manchester dan Birmingham.  Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk bandar di England adalah seperti sistem perparitan, sistem kumbahan, peredaran udara dan sistem bekalan air.

(4) Perdagangan

Revolusi Perindustrian juga menyebabkan perdagangan antarabangsa berkembang dengan pesat. Perdagangan antarabangsa menyebabkan negara industri menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran.  Bagi meningkatkan perdagangan antarabangsa, England melaksanakan dasar perdagangan bebas sepenuhnya dalam sektor perindustrian dan pertanian.

(5) Kemajuan Dalam Bidang Pengangkutan

Revolusi Perindustrian menyebabkan kemajuan dalam sistem pengangkutan. Sistem pengangkutan yang baik disediakan bagi memudahkan pergerakan barangan dan pemasaran.  Antara tokoh yang memberikan sumbangan dalam pembinaan jalan raya ialah John Metcalf, Thomas Telford, dan John McAdam. Richard Trevithick mencipta lokomotif untuk menarik gerabak pada tahun 1801. Lokomotif berkuasa wap direka oleh George Stephenson pada tahun 1825. Pada tahun 1761, James Bridley telah membina Terusan Worsley untuk mengangkut arang batu ke bandar perusahaan Manchester.

(6) Perkembangan Industri Arang Batu, Besi, Dan Keluli

Revolusi Peridustrian menyebabkan permintaan untuk besi dan keluli meningkat. Perkenbangan ini menyebabkan permintaan untuk bekalan arang batu turut meningkat. Menjelang tahun 1860, England mengungguli negara lain dalam pengeluaran arang batu. Abraham Darby the Elder, Abraham Darby the Younger, Henry Cort, Benjamin Hunstmen, Sir William Siemens, dan Sir Henry Bessemer merupakan tokoh dalam penghasilan bijih besi dan keluli.

Kesan Sosial

(1) Pertambahan Penduduk

Revolusi Perindustrian menyebabkan berlaku pertambahan penduduk di England.  Antara tahun 1800 dan 1850, bilangan penduduk di England meningkat dua kali ganda. Antara faktor yang menyebabkan pertambahan penduduk adalah seperti peningkatan taraf hidup, kemajuan dalam kesihatan, pengurangan kadar kematian, penghijrahan penduduk, dan migrasi penduduk.Pertambahan penduduk menyebabkan berlaku penghijrahan penduduk ke luar negara seperti India, Australia, dan China.

(2) Perubahan Gaya Hidup

Revolusi Perindustrian menyebabkan berlaku perubahan gaya hidup masyarakat. Revolusi ini menyebabkan ramai golongan muda berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Suasana kehidupan di bandar telah menyebabkan ikatan kekeluargaan mula merosot.Dalam pada itu, kejayaan seseorang individu ditentukan oleh bakat dan kekayaan yang dimilikinya. Dalam konteks ini, status keturunan tidak menentukan kejayaan seseorang.

(3) Kemunculan Golongan Kelas Menengah

Revolusi Perindustrian menyebabkan muncul golongan kelas menengah yang mempunyai kuasa politik. Golongan ini berjuang untuk mendapatkan perwakilan di parlimen. Golongan ini menuntut hak-hak ekonomi serta hak golongan pekerja dalam parlimen.  Antara tokoh yang memperjuangkan hak golongan pekerja di Parlimen England ialah David Ricardo.  Pada abad ke-18, ramai anggota parlimen England terdiri daripada golongan kelas menengah.

(4) Kemunculan Golongan Proletariat

Revolusi Perindustrian menyebabkan muncul kelas pekerja yang dikenali sebagai golongan proletariat.  Mereka terdiri daripada pekerja yang bekerja di kilang-kilang perindustrian. Golongan pekerja melancarkan gerakan yang dikenali sebagai Gerakan Luddite bagi membantah penggunaan jentera di kilang-kilang.

(5) Kepupusan Industri Kecil

Revolusi Perindustrian menyebabkan ramai pekerja meninggalkan kampong halaman mereka untuk bekerja di kilang perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan industri kecil yang dijalankan di kawasan luar bandar terjejas.

(6) Kesesakan Di Bandar Perindustrian

Antara bandar perindustrian yang mengalami kesesakan ialah Manchester, Liverpool, Leeds, dan Lyons.  Kesesakan yang berlaku di bandar perindustrian menyebabkan timbul masalah perumahan, kesihatan, dan sanitasi.  Persekitaran yang kotor menyebabkan penduduk terdedah kepada penyakit berjangkit seperti kolera, taun, dan batuk kering.

(7) Pengkhususan Kerja Dan Pengeluaran Besar-Besaran

Menyebabkan berlaku pengkhususan pekerjaan dan pengeluaran secara besar-besaran. Pengkhususan kerja telah mengurangkan kos operasi pengeluaran dan meningkatkan pengeluaran.

(8) Ekspoiltasi Terhadap Pekerja Wanita Dan Kanak-Kanak

Kaum wanita dan kanak-kanak sering diambil untuk bekerjadi kilang dan lombong arang batu. Ekspoiltasi terhadap pekerja wanita dan kanak-kanak berlaku kerana tiada batasan had masa kerja.  Umpamanya buruh kanak-kanak dipaksa bekerja di kilang selama 13 hingga 15 jam sehari.  Pada tahun 1833, kerajaan meluluskan Akta Kilang yang mengehadkan masa bekerja bagi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun selama lapan jam sehari. Pada tahun 1842, Parlimen meluluskan Akta Lombong yang melarang kanak-kanak dan wanita bekerja di lombong arang batu. Pada tahun 1847, Akta Sepuluh Jam yang mengehadkan masa bekerja bagi wanita dalam industri tekstil selama 10 jam sehari diperkenalkan.

Penutup

Revolusi perindustrian menyebabkan England berubah daripada Negara agraria kepada Negara perindustrian.Revolusi perindustrian juga membawa kepada pengenalan kuasa jentera, pengumpulan modal yang meningkatkan pemesatan ekonomi di England dan penambahan bilangan kelas pekerja serta kelas pertengahan baru yang terdiri daripada pemilik kilang, saudagar, peniaga, ahli-ahli bank, doctor, peguam, dan jurutera. 

Sumber

Catat Ulasan

0 Ulasan