Contoh Karangan Faktor-Faktor Berlakunya Cetak Rompak dan Langkah-Langkah Mengatasinya
Dari tahun 1999 sehingga Januari tahun 2005, jumlah kes yang
melibatkan cetak rompak yang telah didakwa ialah 33 260 kes dan nilai barangan
yang telah disita ialah RM265 juta. Statistik tersebut hanya merujuk cetak
rompak cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) tanpa mengambil
kira kes cetak rompak barangan lain seperti cetak rompak buku, hak cipta, dan
sebagainya. Sekiranya diteliti masalah ini secara mendalam, kita akan sedar
bahawa fenomena cetak rompak bukanlah satu masalah yang mudah diatasi.
Serbuan demi serbuan dilakukan ke atas penjual barangan
cetak rompak tetapi masalah ini masih berleluasa. Kegiatan cetak rompak tidak
berhenti sebaliknya semakin bertambah. Mereka yang terlibat dalam kegiatan
cetak rompak mempunyai sikap tamak dan hanya mementingkan keuntungan
semata-mata. Tambahan pula mereka mengetahui kelemahan penguatkuasaan dalam
membanteras gejala ini. Misalnya, di bawah Akta Hak Cipta 1987, seseorang pesalah
boleh dikenakan denda minimum RM2 000 dan maksimum RM20 000 atau penjara tidak
melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Biasanya
mereka tahu jika disabitkan kesalahan mereka hanya akan didenda. Oleh itu,
mereka terus mencari keuntungan dengan cara yang pantas tanpa memperdulikan
pekara-pekara yang lain.
Selain itu, cetak rompak sukar dikawal kerana perbezaan
harga yang tinggi antara barang tulen dengan barang tiruan. Sebagai contoh,
harga sekeping cakera padat audio tulen berharga RM39 manakala harga cakera
padat tiruan hanya berharga RM5. Perbezaan harga sebanyak 800% akan mendorong
orang ramai memilih cakera padat tiruan selain mudah didapati. Semasa membuat
pilihan, harga biasanya menjadi faktor penentu dan barangan yang murah akan
menjadi pilihan. Hal ini menyukarkan usaha untuk menangani masalah cetak
rompak.
Apakah tindakan selanjutnya untuk membanteras gejala ini
supaya tidak terus berleluasa? Salah satu langkah untuk mengurangkan masalah
ini adalah dengan membina pusat percetakan di dalam Negara. Proses mencetak di
dalam Negara akan menurunkan harga barangan tulen. Harga yang berpatutan akan
menggalakkan pembeli memilih barangan tulen berbanding dengan barangan tiruan.
Walaupun para pengeluar mengatakan bahawa mereka akan mengalami kerugian kerana harga yang rendah tetapi
dalam jangka masa panjang, langkah ini tetap tidak merugikan. Hal ini demikian
kerana jumlah penjualan akan meningkat dan keuntungan akan meningkat juga
makala kegiatan cetak rompak akan semakin berkurang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan
Kepenggunaan perlu melaksanakan hukuman penjara mandatori terhadap pengedar dan
penjual cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.
Langkah yang tegas ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Hal ini
demikian kerana salah satu alasan kegiatan ini berterusan adalah kerana mereka
tidak takut akan pihak penguat kuasa atau undang-undang. Hukuman yang terlalu
ringan adalah faktor utama kegiatan menjual barangan atau produk haram itu
masih berleluasa di Negara ini. Dengan itu, langkah mengenakan hukuman penjara
mandatory mungkin akan lebih berhasil berbanding dengan hanya mengenakan
hukuman denda.
Penguatkuasaan hendaklah dijalankan dengan lebih efektif.
Barangan rampasan seperti mesin pencetak cakera padat video dan cakera padat
digital hendaklah dihapuskan dengan serta-merta. Hal ini adalah untuk
mengelakkan mesin-mesin tersebut jatuh ke tangan individu yang tidak
bertanggungjawab. Selain itu, pihak penguat kuasa juga hendaklah memastikan
bahawa mesin-mesin pencetak untuk kegiatan cetak rompak tidak dapat dibawa
masuk ke Negara kita. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala
ini daripada terus berleluasa.
Sememangnya sukar untuk menyelesaikan masalah cetak rompak.
Sekiranya semua pihak ingin menghapuskan kegiatan ini, kerjasama antara
pihak-pihak yang terlibat mesti menjadi keutamaan. Pengeluar, pembeli, pihak
penguat kuasa, dan pihak yang melaksanakan undang-undang harus bertindak tegas
dan tidak teragak-agak semasa menjatuhkan hukuman kepada mereka yang terlibat
dalam kegiatan cetak rompak.