Contoh Karangan Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menggalakkan Industri Pelancongan di Malaysia
Dasawarsa, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara
penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila
Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing
telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan
sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah
diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh yang demikian,
bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak perlu memainkan
peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini.
Dalam
usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut
dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan
produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak
cinta. Tamsilannya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk
memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini
didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan.
Selain itu, Kementerian Pelancongan juga
aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang
berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur.
Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor
pelancongan di Malaysia.
Pada
masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk
pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada.
Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan
dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama
hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan
melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula
One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor
ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti
Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai
Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan
agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan
Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk
memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang
perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik
minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan
pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai
ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya
terdapat di Malaysia”.
Selain
kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti
perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak
seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan
selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario, indah
khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan. Maka,
para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang kondusif
selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima
bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha pengangutan
awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan
perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra
kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan
pengangkutan awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita
tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah
kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan
akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong
yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan
perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara
membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.
Tidak
dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada
usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu,
mahajana hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk
sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada
para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi
bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka
dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong,
rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai
pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah
mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara.
Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu
pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Konklusinya, budaya bahu-membahu antara pihak kerajaan, swasta, dan
warga tempatan penting demi kelangsungan sektor pelancongan domestik. Kita
berkeyakinan bahawa pada masa akan datang adalah tidak mustahil industri pelancongan
tempatan akan standing dengan negara-negara yang telah sedia tersohor dalam
bidang pelancongan. Oleh itu, kita
berharap agar destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi akan setanding
dengan Pulau Bali di Indonesia. Akhirul kalam, impak daripada kemakmuran sektor
pelancongan sudah pasti akan menguntungkan rakyat tempatan yang akan menerima
tempias limpahan rezekinya.