Kepentingan Makanan Seimbang

Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang, kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru tentang kepentingan pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada kesihatan seseorang individu. Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia yang tergolong dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan tidak bersikap bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita mengkaji persoalan yang masih menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. 

Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau faedah pemakanan seimbang yang jelas dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu, seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus penting dalam proses pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah seperti ketinggian dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak seimbang, mereka akan mengalami pertumbuhan yang terbantut serta tidak sempurna. Hal ini akan memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan mengakibatkan mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan pemakanan yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya, ramai individu di negara yang maju berupaya mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak sedemikian. 

Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh daripada pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ), schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga mengeluarkan laporan bahawa mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.
 
Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang telah terbukti dapat mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit. Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif, kekurangan protein akan menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit kanser juga terbukti dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak dan mengambil berat kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
 
Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey 2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku, kerana kita sewajarnya berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula, berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana pembangunan dan perkembangan dalam industri lain seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan kita. Membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-ubatan daripada farmasi. 

Tuntasnya, kepentingan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam kehidupan seharian setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita, malah akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Pepatah ada mengatakan, Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan menerima kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal tajam, kerana badan sihat, otak cerdas. 

Contoh lain :
  1. Makanan seimban
  2. Kebaikan Mengamalkan Makanan Seimbang