Ad Code

Responsive Advertisement

Langkah-langkah bagi meningkatkan pelaburan asing di Malaysia

Contoh Karangan Langkah-langkah bagi meningkatkan pelaburan asing di Malaysia

Pelaburan asing merupakan salah satu sumber utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing menyebabkan pendapatan negara meningkat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan meningkatkan kemajuan dalam aktiviti ekonomi. Oleh itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini.

Langkah pertama yang dijalankan ialah mengadakan skim galakan kepada para pemodal. Skim galakan merupakan daya tarikan yang mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Dalam usaha ini, kerajaan telah memberi beberapa kelebihan kepada pemodal yang bertaraf perintis seperti pengecualian cukai untuk tempoh tertentu. Dalam usaha membolehkan pemodal asing melabur di sini, kerajaan juga harus melonggar peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100% dalam sesuatu projek atau perniagaan.

Selain itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menghantar rombongan perdagangan bagi menarik pelaburan dari luar negara. Rombongan-rombongan ini bertujuan untuk menyedarkan pelabur asing mengenai potensi pelaburan di Malaysia sama ada melalui seminar pelaburan, mesyuarat atau laporan media massa. Maklumat-maklumat pelaburan untuk pelabur asing juga disampaikan menerusi pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di seberang laut.

Di samping itu, kerajaan Malaysia juga menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang sempurna. Penyediaan tapak perindustrian dan kemudahan infrastruktur ini bertujuan untuk menarik minat pemodal-pemodal asing untuk memajukan perusahaan baru di sini. Dengan adanya prasarana yang lengkap, sudah tentu ini akan memudahkan pelabur asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini kerana ia menjimatkan kos penyediaan kemudahan asas yang diperlukan.

Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi menarik ramai pelabur asing. Selaras dengan matlamat ini, kerajaan telah melaksanakan rancangan latihan kepakaran demi meningkatkan kemahiran dan kecekapan guna tenaga tempatan. Tambahan pula, kerajaan melalui pelbagai agensi telah mempergiat program penyelidikan dan pembangunan memperkenalkan teknik untuk pengeluaran moden dan lain-lain.

Pelabur asing yang hendak menanam modal di sesebuah negara harus memasti pelaburan mereka adalah terjamin. Oleh itu, kestabilan politik merupakan faktor utama untuk menggalakkan lagi sektor ini. Sekiranya keadaan politik tidak stabil dan berlaku krisis perkauman, ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan para pelabur dan mendorong mereka beralih ke negara lain. Kerajaan Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Jaminan Pelaburan dengan negara-negara asing yang bermatlamat untuk memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memiliknegarakan mana-mana syarikat asing di negara ini. Perjanjian ini dapat menambahkan keyakinan pelabur asing dan menggalakkan kemasukan modal asing ke negara ini.

Kesimpulannya, pelaburan asing akan terus meningkat sekiranya kerajaan Malaysia berusaha menyediakan suasana yang kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini. Walau bagaimanapun, di sebalik keghairahan menarik pelaburan asing, kita harus sentiasa berhati-h