Contact Form

Ahad, 10 November 2013

Etika Perang Islam

 
Agama Islam sebenarnya tidak menggalakkan peperangan. Namun, demi mengelak agama, negara dan maruah diri diperkotak-katikkan, umat Islam wajar mengangkat senjata. Hal ini bertepatan dengan agama ini yang bersifat mementingkan kesejahteraan dan keamanan. Namun, ketika menghadapi musuh di medan perang, tentera Islam perlu mematuhi pelbagai etika yang telah ditetapkan tidak kira sebelum, semasa mahupun selepas peperangan.

    Dalam konteks sebelum peperangan, tentera Islam dikehendaki memberi pilihan kepada pihak lawan sama ada menerima Islam, membayar jizyah [cukai perlindungan] atau berperang jika pihak musuh yang memulakan. Tentera Islam hanya akan melakukan serang balas sekiranya pihak musuh memulakan serangan.

    Semasa peperangan, tentera Islam dilarang memerangi orang kafir yang lemah seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang kurang upaya, lumpuh termasuklah juga paderi atau pendeta. Selain itu, tentera Islam juga dilarang merosakkan harta benda, menebang pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat. Hal ini membuktikan betapa Islam mementingkan keamanan dan kedamaian. Islam juga melarang tenteranya memerangi orang yang telah menyerah kalah, kafir ‘dhimmi’ atau sesiapa sahaja yang telah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.

    Seterusnya, Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh seperti dilarang mencincang mayat musuh seperti yang dilakukan Hindun binti Utbah yang mencincang mayat Saidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang Uhud.

    Selepas perang, Islam menetapkan bahawa sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib dipatuhi setiap individu muslim yang terlibat dalam peperangan sama ada secara langsung atau sebaliknya. Contoh terbaik ialah kesetiaan umat Islam terhadap gencatan senjata selama 10 tahun yang telah diputuskan dalam Perjanjian Hudaibiyah.

    Etika terakhir ialah semua tawanan perang akan dilayan dengan baik. Perkara ini sebenarnya merupakan salah satu cara berdakwah yang diajar Nabi Muhammad s.a.w. Walau bagaimanapun, etika ini tidak akan digunakan ke atas musuh yang benar-benar berbahaya terutama kepada umat Islam.

    Semua etika yang diamalkan tentera Islam tidak kira sebelum, semasa dan selepas peperangan bukan sahaja menggambarkan tentera Islam berdisiplin tinggi malah merupakan satu strategi berdakwah secara halus oleh para tentera di medan perang.
Label : views