Ad Code

Responsive Advertisement

Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya [Laporan]

Contoh Karangan Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya [Laporan]

Laporan tentang Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya


1.0  Pendahuluan

Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa. Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan  awam. Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi.  Sehingga kini perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut.


2.0  Senarai Ahli Jawatankuasa
       Pengerusi: Ahmad bin Ali
       Setiausaha: Muhammad bin Daimin
       Bendahari: Simon Tan
       Ahli jawatankuasa:
       1) Saleha binti Abu
       2) Razali bin Darus


3.0 Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam

 3.1 Keadaan Fizikal Kenderaan Awam Tidak Sempurna

Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah.  Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik. Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi. Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.


 3.2 Kadar Tambang Tidak Sepadan dengan Kualiti Perkhidmatan

Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan. Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak.  Segelintir kakitangan bas pula didapati  kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang. Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.

4.0 Cadangan untuk Mengatasinya

 4.1 Memperketat Penguatkuasaan Undang-undang tentang Usia Kenderaan Awam

Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang tentang usia kenderaan awam di jalan raya. Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan permitnya. Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya dengan kenderaan yang baharu. Bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan awamnya didapati kurang elok. Selain menjaga keselamatan pengguna,  langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.

 4.2 Menambahkan Pengeluaran Permit Kenderaan Awam

Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan seharusnya  menambahkan pengeluaran permit kenderaan awam di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih banyak kenderaan awam beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut untuk menaiki kenderaan, terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Pertambahan pemilik kenderaan awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha. Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.

5.0 Penutup

Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu  mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial.  Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini  dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.


Contoh lain: 
  1. Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Kita

Catat Ulasan

0 Ulasan