Contoh Karangan Punca dan langkah mengatasi jenayah ragut
Sejak dahulu masyarakat
tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu
terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas. Ketika
itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan
mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu
jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.
Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk
pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di
Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng,
37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan
lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius
khususnya oleh kaum wanita.
Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal
selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh
mengancam nyawa. Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada
wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka
terutama kala berada di khalayak. Banyak pihak apabila memperkatakan
tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka
dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi. Menurut mereka
peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan
mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan
keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa
berada di tempat awam.
Menurut Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan
Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian maut yang
berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya
mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama
itu. Jenayah ragut kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti
rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita. Sudah sampai
masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan
mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di
tempat awam. Wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa
kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri
mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap
mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.
Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah
keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak
kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu apabila
diserang. Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling
serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha
mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara
berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.
Sebagai contohnya, apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg
tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi
menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg
tangan yang sedang disandang atau dipegang itu.
Wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak
kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah
berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang. Sehubungan itu,
wanita harus mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan
peragut sekiranya mengalaminya Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu
bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg
yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian
yang tidak diingini berlaku terhadap mereka. Wanita seharusnya tidak
membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan
kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.
Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut
padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat.
Sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk
mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka. Ini boleh
dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau
dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh
tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama
dengan rakan-rakan sejenis. Seperkara lagi, masyarakat juga harus lebih
prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan
apabila berada di dalam situasi seperti itu. Sekiranya ternampak
seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada,
segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya
menjadi pemerhati. Selanjutnya, undang-undang untuk pesalah kes ragut
ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan
melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum
melakukannya.
Peragut adalah mereka yang yang suka mencuri. Mereka hanya inginkan
barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu
boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa. Seperkara yang perlu diingati
oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan
untuk keselamatan diri. Apabila diragut, elak diri daripada bergelut
dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam
peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus
melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana
kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang
dipandu. Dalam apa juga keadaan, langkah terbaik adalah sentiasa
berhati-hati. Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis,
beringat sebelum kena
0 Ulasan