Ad Code

Responsive Advertisement

Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan

Contoh Karangan Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan

Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum.  Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Peranan pertama yang perlu dipegang oleh remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.  Dalam hubungan ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.  Remaja mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.  Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain.  Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.  Oleh yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

Selain itu, remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.  Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.  Sebagai contoh. tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.  Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama.  Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.  Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.  Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.

Peranan yang berikutnya ialah remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.  Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.  Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini.  Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpananya.  Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.  Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang tersendiri. Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.

Selanjutnya, remaja hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.  Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.  Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini.  Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.  Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.  Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.  Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.

Kesimpulannya, remaja bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.  Semua pihak hendaklah bersinergi umpama aur dengan tebing untuk merealisasikan wawasan dan gagasan besar negara.  Kita tidak mahu generasi mudah hari ini mengabaikan peranan mereka  untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.  Iltizam dan kesungguhan remaja dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global.  Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Contoh lain : 
  1. Perpaduan kaum di Malaysia 
  2. Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan
  3. Perpaduan 
  4. Usaha-Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum