Ad Code

Responsive Advertisement

Punca Budaya Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Contoh Karangan Punca Budaya Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Lewat kebelakangan ini, kes buli sering dilaporkan melalui media massa. Masalah ini bukanlah gejala baru di negara kita malah gejala buli pelajar sekolah menunjukkan kadar peningkatan dari semasa ke semasa. Kes buli yang melibatkan pelajar sekolah bukanlah kes terpencil kerana kes ini sudah mendapat perhatian seluruh masyarakat negara kita. Hal ini terjadi kerana gejala buli sudah semakin melampau kebelakangan ini sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, buli didefinasikan sebagai perbuatan mempermain-mainkan orang, kebiasannya orang yang lemah, dengan tujuaan untuk menggertak, mencederakan, ataupun menakutkan orang tersebut. Dalam erti kata lain, buli adalah perbuatan mengasari orang yang lemah untuk memperlihatkan kekuatan atau keganasan seseorang. Kes buli seperti ini tidak hanya berlaku dalam golongan dewasa, malah telah berlaku sejak peringkat awal sekolah iaitu prasekolah. Selalunya perbuatan buli melibatkan sekumpulan pelajar dan mangsa hanya keseorangan mempertahankan diri. Beberapa punca telah dikenal pasti telah menyumbang kepada permasalahan ini.

Punca pertama gejala buli semakin berluluasa di negara kita adalah kurangnya didikan agama. Negara yang pesat membangun menuntut rakyatnya bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidup. Dalam mengejar hal dunia, ibu bapa terlalu sibuk sehinnga tiada masa untuk mendidik anak-anak. Bagi keluarga yang berpendapatan tinggi, hal penjagaan anak diserahkan kepada pembantu rumah yang sudah pasti berasal dari negara asing. Ibu bapa seharusnya  sedar penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak lebih berkesan jika dididik dari awal. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak mempunyai masa terluang untuk berkomunikasi dan memahami anak-anak mereka.Kelemahan institusi kekeluargaan menyebabkan anak-anak dibiarkan bebas dan kurang permantauan daripada ibu bapa. Kesannya, ibu bapa gagal memberikan didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Ada antara pelaku-pelaku kegiatan buli ini menganggap perbuatan mereka sekadar hobi semata-mata. Ini menujukkan bahawa masyarakat yang semakin maju dan berpendidikan tinggi tidak melahirkan insan yang berfikiran waras.

Majoriti pelaku jenayah buli mempunyai latar belakang masalah emosi yang melampau-lampau. Masalah yang timbul dalam keluarga ataupun kerja menyebabkan tekanan yang membebankan seseorang individu. Akibat tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dan kekurangan pengetahuan dalam menangani tekanan telah menyebabkan mereka hilang kawalan ke atas emosi mereka. Seterusnya mereka akan bertindak membuli orang lain sebagai salah satu cara bagi melepaskan tekanan. Sesetengah pembuli turut mengaku bahawa mereka berasa gembira dan puas hati selepas berbuat demikian.

Gejala buli juga boleh terjadi disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Lazimnya, golongan pembuli berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya sesuatu tindakan. Sebaliknya, mereka sentiasa terikut-ikut akan perangai dan tindakan rakan sebaya. Apabila individu itu tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan besar akan terjebak dengan gejala buli ini. Di samping itu, keadaan akan bertambah buruk dengan sifat ego mereka yang tidak mahu kalah setelah dicabar rakan sebaya. Rakan-rakan pula akan memprovokasi individu tersebut sehingga tindakan pembuli di luar kewarasan otaknya.

Punca seterusnya boleh dilihat melalui pengaruh media massa. Media massa kini juga telah menjadi pemangkin kepada budaya negatif ini. Pelbagai genre filem dan drama bersiri luar negara yang disiarkan di televisyen sentiasa memaparkan budaya asing yang sememangnya kontras dengan budaya tempatan. Program-program yang diimport dari negara-negara barat berunsurkan aksi-aksi ganas. Terdorong dengan perasaan ingin mencuba aksi-aksi yang dipaparkan pelaku buli akan bertindak ke atas mangsanya tanpa memikirkan padah yang bakal mereka perolehi.

Sebelum masalah ini menjadi semakin serius, langkah-langkah mengatasi perlu diambil dengan efektif. Ibu bapa harus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan ank mereka tidak terlibat. Kita juga perlu memikir nasib mangsa buli kerana mereka bukan saja mendapat kecederaan fizikal malah turut menjejaskan emosi. Usaha membanteras gejala buli perlu ditangani dengan segara bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sekaligus menjamin kesejahteraan negara.