Ad Code

Responsive Advertisement

Punca-punca berlakunya krisis air di negara ini

Contoh Karangan Punca-punca berlakunya krisis air di negara ini

Krisis air bermaksud sesuatu kawasan itu mengalami masalah pembekalan air bersih. Contohnya, beberapa kawasan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami catuan bekalan air selama beberapa bulan akibat krisis air ini. Maka, faktor-faktor yang membawa kemelut air ini harus difahami oleh semua pihak supaya isu ini diselesaikan.

Sebab utama masalah air berlaku dikaitkan dengan fenomena musim kemarau yang keterlaluan itu. Kejadian kemarau yang berpanjangan ini merupakan fenomena yang di luar jangkaan semua pihak lalu menyebabkan langkah untuk mengawal bekalan air tidak dilaksanakan segera. Akibatnya, banyak kawasan tadahan air hujan dan loji air tidak mempunyai bekalan yang cukup untuk keperluan masyarakat kita itu.

Selain itu, krisis air ini disebabkan oleh sikap masyarakat kita yang suka membazirkan air tersebut. Amalan negatif ini wujud kerana kadar tarif bekalan air di Malaysia begitu rendah menyebabkan masyarakat tidak menghargai kemudahan bekalan air bersih itu. Ringkasnya, masalah air berlaku kerana rakyat negara ini tidak memahami betapa pentingnya bekalan air bersih itu lalu membazirkannya sahaja.

Tambahan pula, penyelenggaraan paip air yang tidak efektif telah menjadikan kemelut ini semakin serius. Pihak yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan ini tidak menjalankan tugas mereka sebaik mungkin sehingga membawa pelbagai kejadian paip pecah yang membazirkan air itu. Lantaran itu, sikap sambil lewa pihak berkuasa dalam menjaga paip air telah membawa krisis air ini terus menjadi bahan berita semasa negara ini.

Kajian telah membuktikan bahawa krisis air ini disebabkan juga oleh kadar pembangunan yang keterlaluan oleh pihak berkuasa. Apabila pembangunan dilaksanakan tanpa kawalan sudah pasti kualiti bekalan air yang diperoleh menjadi tidak baik kerana permintaan yang terlalu tinggi itu. Jelaslah, pembangunan yang drastik ini membawa isu bekalan air menjadi meruncing.

Kesimpulannya, semua faktor tadi membuktikan krisis air di negara ini memang wujud. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya masyarakat tidak dibebankan dengan masalah air saban tahun itu. Slogan jimatkan penggunaan air harus menjadi pegangan dalam jiwa rakyat Malaysia supaya krisis air ini tidak lagi menjadi mimpi ngeri masyarakat kita.

Catat Ulasan

0 Ulasan