Contoh Karangan Perkembangan Masyarakat Islam di Makkah dan Madinah
Perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab
telah melalui pelbagai tahap yang mencabar seawal perkembangan penyebaran Islam
di Makkah sehinggalah terbentuknya negara Islam Madinah. Tahap di Makkah lebih
sesuai dianggap dalam proses pembinaan masyarakat Islam manakala di Madinah
lebih kepada tahap pembentukan dan penyatuan ummah.
Di
Makkah, usaha pembinaan masyarakat Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w. berlangsung
selama 13 tahun melalui aktiviti dakwah. Setelah berdakwah secara sulit selama
tiga tahun, hanya beberapa orang sahaja memeluk Islam termasuk isteri baginda,
Siti Khadijah. Dakwah secara terbuka dijalankan setelah baginda menerima wahyu
agar berbuat demikian. Bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab merupakan orang
pertama menentang secara tegas.
Pelbagai usaha dilakukan kaum Quraisy
Makkah untuk menghalang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Contohnya, mereka
meminta Abu Talib menasihati baginda agar menghentikan dakwahnya tetapi gagal.
Kaum Quraisy Makkah kemudiannya mula bertindak ganas terhadap umat Islam
Makkah. Bagi menangkis penindasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan
umat Islam berpindah ke Habsyah secara sulit. Kaum Quraisy telah menghantar
wakil menemui Raja Habsyah agar menghantar pulang umat Islam namun tidak
diendahkan oleh Raja Habsyah. Tindakan Umar al Khattab memeluk Islam, memberi
tamparan hebat kepada kaum Quraisy sehingga mereka mula memulaukan Bani Hasyim
dan Bani Mutalib.
Terdapat beberapa faktor kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi
Muhammad s.a.w. Antara faktor tersebut ialah mereka ingin mengekalkan kuasa dan
pengaruh serta menganggap persamaan taraf yang disyorkan Islam bertentangan
dengan amalan tradisi mereka. Selain itu, mereka juga ingin mempertahankan
warisan nenek moyang mereka iaitu mengukir patung berhala. Kaum Quraisy juga
sebenarnya takut dengan hari kiamat, hari pembalasan selain berasa iri hati
dengan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w.
Usaha membentuk masyarakat Islam di Madinah amat mencabar kerana
penduduknya terdiri daripada bangsa Arab dan bukan Arab. Penduduk asal
berbangsa Arab iaitu kaum Aus dan Kahzraj. Bangsa bukan Arab pula ialah orang
Yahudi seperti Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Kemuncak
permusuhan antara Aus dan Khazraj ialah tercetusnya Perang Bu’ath yang
mengorbankan banyak jiwa. Perbalahan antara mereka telah melemahkan ekonomi dan
politik sehinggakan kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas mereka.
Aus
dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk menyelesaikan pertelagahan mereka. Pertemuan
dengan Nabi Muhammad s.a.w. telah melahirkan Perjanjian Aqabah 1 pada 621M dan
Perjanjian Aqabah II pada 622M. Perjanjian Aqabah II telah merintis jalan
ke arah penghijrahan Nabi Muhammad
s.a.w. dan umat Islam ke Madinah. Penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin
berasaskan iman, taqwa dan persaudaraan tanpa mengira bangsa, agama dan warna
kulit. Baginda juga berusaha
menyelesaikan isu sosial dan ekonomi Muhajirin. Golongan Ansar telah membantu
Muhajirin dengan penuh keikhlasan.
Konsep
satu ummah yang disebut dalam Piagam Madinah juga diperkukuhkan. Piagam ini
mewajibkan setiap umat Islam bekerjasama menegakkan amal kebaikan, mencegah
kemungkaran, tidak membiarkan saudara seagama terbeban hutang serta menegah
berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi Islam.
Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang unggul dan bijaksana telah berjaya
mengembangkan masyarakat Islam sehingga menjadi ummah yang berjaya membentuk
negara Islam Madinah. Negara Islam akhirnya mampu menghadapi pelbagai cabaran
musuh sama ada dari dalam atau luar negara. Tidak hairanlah jika ramai yang
berpendapat bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.
0 Ulasan