Ad Code

Responsive Advertisement

Perbezaan Sistem Kerajaan Pusat Dan Kerajaan Wilayah

Contoh Karangan Perbezaan Sistem Kerajaan Pusat Dan Kerajaan Wilayah


Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al Rasyidin yang meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda. Namun, terdapat juga penambahan dasar ekoran negara dan wilayah Islam yang semakin luas. Misalnya, pemerintahan terbahagi kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Penggubalan dasar-dasar pada peringkat wilayah adalah selari dengan dasar peringkat pusat dan  diamalkan sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah.
             
Kerajaan Khulafa al Rasyidin terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Turki Uthmaniyah pula diasaskan Uthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1280M. Pentadbiran kerajaan pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas.

Pada zaman Khulafa al Rasyidin, pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah manakala untuk kerajaan Turki Uthmaniyah berpusat di Istanbul. Antara kerajaan wilayah zaman Khulafa al Rasyidin ialah Makkah, Baghdad dan Damsyik manakala kerajaan wilayah zaman Turki Uthmaniyah ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk.
           
Kuasa tertinggi kerajaan pusat zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala ‘Amir’ mengetuai kerajaan wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Pada zaman kerajaan Turki Uthmaniyah, kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah, sultan memerintah berlandaskan syariah Islam  manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh sultan.
              
Bagi kedua-dua kerajaan ini, kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan.
            
Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat  Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan akan memerintah sehingga meninggal dunia.
           
Aspek ekonomi, politik dan sosial diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara.

           Kesimpulannya, kerajaan pusat dan kerajaan wilayah mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek. Namun kedua-dua bentuk kerajaan ini perlu saling bekerjasama bagi memastikan pemerintahan dan pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan selamat.

Catat Ulasan

0 Ulasan