Contact Form

Khamis, 7 November 2013

Peranan Perlembagaan Madinah Yang Digubal Pada Tahun 622M

Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di dunia. Ia digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan wahyu yang diperturunkan oleh Allah s.w.t. Piagam yang mengandungi 47 fasal merupakan satu langkah mendirikan negara Islam di Madinah. 

    Piagam Madinah merupakan batu asas pengiktirafan penduduk bukan Islam terutamanya masyarakat Yahudi ke atas negara Islam. Penggubalan Piagam Madinah membolehkan  Nabi Muhammad  menubuhkan negara Islam Madinah yang berdaulat dan diiktiraf oleh semua kaum termasuk Yahudi. Baginda kemudiannya diiktiraf  sebagai ketua negara dan berperanan menyelesaikan sebarang perbalahan  di Madinah. Baginda berjaya menyelesaikan masalah perkauman.

    Selain itu, Piagam Madinah juga merupakan asas kepada penyatuan  penduduk Madinah. Penduduk Madinah terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Piagam Madinah ini membolehkan penduduk berbilang kaum di Madinah hidup aman dan damai. Hal ini demikian kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan beragama, berfikir, berkerja selain menekankan konsep keadilan selain menolak diskriminasi kaum. Sikap saling menghormati antara satu sama lain amat ditekankan bagi mengelakkan permusuhan.

    Selain itu, Piagam Madinah membolehkan sistem perundangan Islam diamalkan oleh semua penduduk Madinah. Baginda telah menubuhkan sistem kehakiman dan keadilan yang sistematik. Sebagai contoh, hukuman terhadap pesalah dilakukan dengan adil tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, peraturan dalam sesebuah kabilah tidak dihapuskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dari segi ekonomi pula, unsur penipuan dan dan riba dihapuskan. Semua penduduk Madinah diberi peluang yang sama dalam bidang ekonomi.

    Piagam Madinah turut menekankan keselamatan  negara Madinah. Semua penduduk Madinah diseru untuk mempertahankan Madinah dari sebarang ancaman luar. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk bukan Islam iaitu kaum Yahudi dijamin selagi mereka mematuhi Piagam Madinah. Piagam Madinah amat menekankan konsep bersatu dalam menentang musuh yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara Madinah.

    Penggubalan Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu langkah bijak dalam mewujudkan perpaduan penduduk Madinah. Madinah akhirnya muncul sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja kuat tetapi turut dihormati oleh negara luar.
Label : views