Contoh Karangan Peranan Media Dalam Pembangunan Negara
Apabila disebut media, apa yang akan tergambar di minda warga Malaysia kini ialah blog dan bloggers.
Blog, salah satu daripada bentuk komunikasi media letronik, menjadi
begitu hangat diperkatakan adalah kerana kenyataan yang dibuat oleh
pihak kerajaan, yang mendapati blog danbloggers (individu
atau sekumpulan yang mempunyai dan menjadi pengamal laman blog
internet) mempengaruhi orang ramai dalam menentukan kemenangan pada
seseorang calon pilihan raya.
Kenyataan
peri pengaruhnya blog ini seterusnya disahkan lagi apabila Barack Obama
difaktakan sebagai menggunakan laman blog untuk meraih kemenangan dalam
pemilihan presiden Amerika yang lalu. Kini, media yang sama – blog –
dijadikan sebagai antara bentuk komunikasi terpenting dalam merapatkan
hubungan diplomatik antarabangsa, apabila Obama menghantar utusan ucapan
menyambut hari ulang tahun Revolusi Iran, melalui blog. Begitulah juga
dengan Israel.
Sesiapa
yang mempunyai luangan masa dan melawati blog-blog yang ada, mereka
akan mempunyai maklumat, berita, fakta, pandangan, komen, kritikan,
hujahan dan sebagainya selain blog yang khusus dalam bidang fotografi,
pendidikan, sains, agro, robot, ikan, tisu kultur, dan… apa saja yang
ada dalam persada ilmu dan pengetahuan masa kini.
Dengan
spektrum peranan media yang sebegini luas, terkini, terarah, dan fokus,
dan dapat disebarkan pula dalam sekelip mata ataupun hanya dengan
jejari, sudah tentu impaknya amat besar terhadap masyarakat, hatta
negara.
Dasar
Langit Terbuka, ternyata bukan saja merancakkan lagi sebaran dan
tebaran ilmu serta maklumat dan pengetahuan melalui media, tetapi turut
menyulitkan usaha untuk mengawalnya.Dunia tanpa sempadan, global, telus dan bermaklumat, yang bergerak di atas landasan kebebasan bersuara, hak asasi manusia,
terutamanya paksi manusia adalah bersaudara, menjanjikan suatu
pembaharuan dan perubahan bakal berlaku dalam satu-satu masyarakat, juga
negara.
Sememangnya,
menjadi hasrat dan cita-cita mana-mana negara untuk memanfaatkan media
ini bagi pembangunan negara. Jika ada negara yang menafikannya, maka
tunggulah pelbagai tindakan, baik dari pihak kerajaan mahupun NGO
terutamanya, yang akan bangkit membangkang dan menentangnya.
Terpentingnya, suara penentangan ini tersebar dalam beberapa saat saja,
dan ruang sebarannya adalah seluruh dunia!
Bagi
negara seperti Malaysia, yang masih lagi berusaha untuk menjadi sebuah
negara yang maju, dan mesti terus kekal membangun dari segi ekonominya,
peranan media menjadi semakin ditagih. Tujuannya ialah untuk pembangunan
negara… dan status negara-bangsa yang tertempel bersamanya, menjadikan
usaha menarik peranan media ke dimensi pembangunan negara bangsa begitu
mencabar.
Sebabnya,
Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik. Pertamanya, Malaysia
adalah pada asalnya negara bangsa Melayu, tetapi mempunyai warganegara
yang berasal daripada keturunan lain seperti Cina dan India.
Keduanya,
selepas 50 tahun memerintah sendiri, rakyatnya yang berbilang itu,
sudah bertukar wajah, selaras dengan perubahan di negara-negara lain,
terutamanya Barat yang juga mempunyai kisah kerakyatan yang sama. Mereka
menuntut supaya mereka dilayan setaraf dengan bangsa Melayu kerana
walaupun mereka berketurunan pendatang, mereka telah dilahirkan di
Malaysia.
Ketiganya,
alunan hak asasi manusia sejagat, keadilan, kesamarataan, keterbukaan,
merupakan arus mega bertaraf global semasa. Ini diikuti oleh penentangan
terhadap diskriminasi dan korupsi, yang begitu popular di negara-negara
yang masih dalam program pembangunan. Projek dan program kemajuan yang
dilaksanakan begitu banyak, besar dan serentak. Ini mengundang masalah
dalam pelaksanaan, dan terbuka kepada pelbagai rupa korupsi dan kroni.
Apatah lagi, apabila mereka yang terbabit dalam barah pembangunan negara
ini ialah para pemimpin dan warga politik utama negara.
Penggabungan ketiga-tiga fakta di atas menjadikan wajah warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai faction (puak). Antaranya ialah:
- puak yang mempertahankan hak bangsa asal – Melayu dan bumiputera lain;
- puak yang menuntut supaya negara-bangsa Malaysia menjadi milik warganegara Malaysia secara totalnya, iaitu bangsa Malaysia;
- puak campuran, iaitu yang terdiri dari golongan Melayu yang sudah bersedia untuk menerima warga lain sebagai taraf yang sama;
- menerima warga lain sebagai taraf yang sama; dan
- puak yang mengasaskan perjuangan berteraskan kemanusiaan, dan bersedia menerima nilai-nilai agama.
Dengan
yang demikian, pembangunan negara-bangsa di Malaysia, menjadi begitu
penting dan besar. Bahkan berada di persada teratas daripada pelbagai
agenda lain. Berbekalkan taraf pendidikan yang ada, ruang kebebasan yang
diizinkan, dan kehadiran kecanggihan media yang sedia terhidang dan
sering diperkasakan, maka peranan mereka yang terlibat dalam media massa begitu besar dan penting, terutamanya menjaga negara terus membangun dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Ini
menjadikan pemain media ini perlulah terdiri daripada mereka yang
benar-benar berkelayakan. Mereka ini perlu mempunyai kefahaman mendalam
tentang kenegaraan; mempunyai pengetahuan yang luas dalam hal
pentadbiran dan pemerintahan termasuklah undang-undang, khususnya
Perlembagaan.
Aspek
di atas hanyalah untuk mengatasi atau menjawab isu-isu semasa yang
dicetuskan oleh pelbagai pihak, terutamanya cetusan negatif dari
golongan pembangkang dan penentang kerajaan, yang ‘terpelihara’ akibat
ruang demokrasi, yakni ruang fahaman politik kenegaraan Malaysia.
Bagi
aspek-aspek yang lebih mendasar ialah falsafah, ideologi, dan
pemikiran, yang menjadi premis utama untuk melihat negara terus
membangun di atas paksi dan landasan yang kukuh, tahan lasak dan
berpanjangan. Ini diperlukan kerana cabaran semasa juga perlu difahami.
Lagipun, cabaran semasa ini boleh merencatkan segala strategi dan
perancangan yang telah dilakarkan, yang bererti hanya jauhari yang kenal
manikam.
Biasanya,
aspek yang mendasar inilah yang sukar difahami oleh massa, dan pengamal
media pula akan mudah terpesona dengan pejuang-pejuang politik yang
dangkal, berkepentingan dan tidak faham pun tentang kenegaraan. Ini
boleh bukan saja membantut pembangunan, malah mengancam kedaulatan
negara itu sendiri. Sebabnya, anasir luar amat berminat untuk membiayai
mereka yang mudah lupa daratan dan kulit asalnya.
0 Ulasan