Contoh Karangan Pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah
Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemerintah pertama di
negara Islam Madinah. Baginda memerintah berteraskan wahyu Allah SWT selain
mengamalkan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal Piagam Madinah.
Baginda amat menegaskan perasaan taat setia dalam kalangan umat Islam bagi
menggantikan semangat assabiyah dalam kabilah-kabilah.
Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad s.a.w. telah
meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang
sebenar. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menjelaskan
perkara-perkara berkaitan umat Islam dan bukan Islam. Piagam ini telah menjadi
teras peraturan hidup masyarakat Madinah yang berbilang kaum.
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menubuhkan Majlis Syura bagi
menggubal dasar pemerintahan negara yang berteraskan al Quran dan Sunnah.
Majlis ini dianggotai sebilangan sahabat paling kanan yang pakar dalam bidang
tertentu. Baginda juga mengamalkan sistem perundangan yang berteraskan al Quran
dan sunnah. Bagindalah hakim yang dilantik pada peringkat suku kaum.
Seterusnya baginda membentuk satu dasar diplomatik dengan menjalin
hubungan dengan negara luar. Memandangkan wilayah Islam semakin meluas, para
‘amir’ telah dilantik untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan.
Sebagai contoh, Uthman ibn Abi al-As dilantik sebagai ‘amir’ di Taif.
Nabi Muhammad s.a.w. juga membentuk pentadbiran berasaskan empat dasar
iaitu mengukuhkan semangat akidah bagi menggantikan semangat assabiyah,
menjadikan Islam sebagai landasan peraturan masyarakat, mengamalkan kaedah
musyawarah dalam pentadbiran dan memperkenalkan Piagam Madinah. Dasar ini
menjadi panduan masyarakat Islam untuk memperoleh kesejahteraan dan keharmonian
dalam kehidupan.
Kebijaksanaan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membina
sebuah masyarakat yang bersatu serta mewujudkan kestabilan politik selain
membina negara Islam yang kukuh, aman dan berdaulat
0 Ulasan