Contoh Karangan Ciri Kepimpinan Nabi Muhammad
Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT
sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara
langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang
dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar.
Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu
sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas
setelah baginda berhijrah ke Madinah.
Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri
baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda
bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah
menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda
juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan
riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan
dan digantikan dengan ekonomi Islam.
Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur
taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai
313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur
oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang
seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah
menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman
al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan
tentera musuh dalam Perang Khandak.
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.
juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi
dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok
bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah
tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad
dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan
menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari
bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan
keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk
Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat
seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah
Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah
menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga
terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara
digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu
menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah
negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang
ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia
mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan,
baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan
penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian
yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy
menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda
sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar
al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh
baginda.
Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah
diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat
dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.
0 Ulasan