Contoh Karangan Punca-punca Berlakunya Penderaan Kanak-kanak
Marcapada ini,
sering meniti dari bibir ke bibir seantero rakyat Malaysia mengenai kes
penderaan kanak-kanak yang semakin mencatatkan angka yang
membimbangkan. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa tidak
pernah terlepas daripada memaparkan isu penderaan yang sering dilakukan
oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Mengapakah fenomena ini
berlaku? Wajarkah kita menyalahkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa
dalam hal ini? Terdapat beberapa faktor yang boleh kita kaitkan dengan
kes penderaan kanak-kanak.
Tekanan di
tempat kerja merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan
kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi
tekanan di tempat kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka
akan menjadikan anak-anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan
yang mereka hadapi. Ibu bapa yang tidak berfikir panjang berisiko tinggi
melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang, mencucuk
puntung rokok atau sebagainya. Patutkah anak-anak yang tidak berdosa ini
diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanyalah selera.
Kes penderaan
kanak-kanak turut ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi
oleh para orang tua. Kes hidup yang semakin meningkat pada masa ini,
memaksa golongan ini berhutang demi memastikan kelangsungan hidup seisi
keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan para ibu bapa
berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu
membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini
pasti menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak
yang sepatutnya diberi perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini
menjadi mangsa sepak terajak mereka yang terbeban dengan krisis kewangan
yang dihadapi.
Kurangnya
didikan gama dalam kalangan ibu bapa turut menyumbang kepada berlakunya
masalah penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang
menjamin kepada keutuhan serta perpaduan sesebuah institusi
kekeluargaan. Ia juga memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan
keluarga. Bengkok bayang bengkoklah batangnya. Kedangkalan ilmu agama
akan menyebabkan sesebuah keluarga itu dipandu dengan cara yang kontra
dengan didikan agama. Hal ini yang menyebabkan terdapat segelintir ibu
bapa yang menghukum anaknya sehingga meninggalkan kesan seperti luka,
lebam dan mungkin juga berlaku pendarahan dalam otak. Di sini kita dapat
lihat betapa didikan agama mementaskan peranan yang signifikan dalam
kehidupan seharian kita.
Intihanya,
penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat
ditegah oleh mana-mana agama pun. Semua pihak harus bekerjasama
menggalas obligasi membendung fenomena ini demi mewujudkan masyarakan
madani menjelang tahun 2020. Kanak-kanak hari ini harus dipelihara dan
diberikan sepenuh perhatian keranan mereka merupakan aset dan pewaris
negara yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara di hari muka. Oleh
itu, hargailah anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.
0 Ulasan