Ad Code

Responsive Advertisement

Cara-Cara Untuk Melahirkan Insan Yang Cemerlang

Contoh Karangan Cara-Cara Untuk Melahirkan Insan Yang Cemerlang

Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca keranake mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik. 

Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.

Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.

Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.

Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.

Akhirulkalam, bak kata peribahasa, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, golongan muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru memainkan peranan yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara kita telah memiliki saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan seperti Bill Gates? Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik? Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari segi pembangunan kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari kebangsaan, 1 Malaysia Menjana Transformasi.