Ad Code

Responsive Advertisement

Langkah-Langkah Mengurangkan Masalah/Kes Jenayah

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengurangkan Masalah/Kes Jenayah

Mutakhir ini, masalah-masalah jenayah yang berlaku di negara ini kian menjadi-jadi “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”. Kes-kes jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan lain-lain. Sebenarnya, kes jenayah dapat dibahagikan kepada enam kategori, jenayah berat yang melibatkan senjata, jenayah ringan seperti gengsterisme dan vandalisme, jenayah narkotik yang melibatkan kes pengedaran dan penyeludupan dadah, jenayah komersial seperti kes maksiat, pelacuran dan perjudian, jenayah perdagangan yang merangkumi isu rasuah dan korupsi serta jenayah kolar putih yang melibatkan jenayah oleh golongan profesional. Pihak kerajaan telah bertungkus lumus memerah otak untuk mencari mekanisme yang lebih efektif dalam menangani masalah jenayah yang menular dalam kalangan masyarakat hari ini, namun kes-kes jenayah dilaporkan semakin meningkat, terutamanya jenayah berat seolah-olah dasar yang diambil kerajaan seperti kurang berkesan. Justeru, langkah-langkah yang drastik perlu diambil bagi mengelakkan masalah jenayah daripada berleluasa di negara kita.
 
Pada hemat saya, pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam usaha membanteras masalah jenayah yang kian meruncing ini. Bermula dari aspek pentadbiran, pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas. Selain itu, pindaan akta-akta yang sedia ada juga wajip dilaksanakan berlandaskan kategori jenayah masing-masing. Bagi individu yang terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh, meragut, dan terlibat dalam penggunaan senjata, harus dijatuhkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup. Akta Dadah Berbahaya 1952 yang digubal oleh pihak kerajaan bagi memperuntuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah merupakan salah satu undang-undang yang berat bagi meminimumkan jenayah narkotik di negara kita. Langkah penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang bakal mengenakan hukuman setimpal terhadap pesalah narkotik akan menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesalahan jenayah dan hal ini diyakini akan dapat menangani masalah jenayah di negara ini. Pendek kata, penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang baru harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebagai cara terbaik untuk mengurangkan masalah jenayah.
 

Sementelahan itu, Perdana Menteri  yang menggalakkan pihak polis meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi juga merupakan cara efektif untuk mengawal kes jenayah yang sering berlaku di Malaysia. Kes pembunuhan yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, di bangunan MIC  merupakan penggerak utama kepada pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di negara kita. Mengikut ulasan pihak polis, mangsa dipercayai ditembak di kening kiri dalam lift bangunan MIC. Malangnya, suspek utama tidak dapat dikesan disebabkan ketiadaan CCTV di tempat kejadian. Realitinya, terdapat banyak kes pembunuhan yang melibatkan pembunuh-pembunuh upahan yang semakin berleluasa di negara kita dan tidak dapat dikesan. Sekiranya dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia, Singapura, China dan lain-lain, sudah tentu kes yang tidak mempunyai “jalan keluar” ini dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan patut menempatkan CCTV di kawasan berisiko tinggi seperti bank, kawasan perumahan, sekolah, taman permainan, dan banyak lagi. Hal ini demikian supaya pihak polis dapat mengecam muka penjenayah, merakan semula kejadian jenayah tersebu, serta membuat analisis secara terperinci yang dapat membantu menyelesaikan kes jenayah sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit. Oleh itu, CCTV patut ditempatkan di kawasan berisiko tinggi supaya masalah jenayah di negara kita dapat dikurangkan.
 

Tidak dapat disangkal bahawa pendidikan merupakan wahana penting dalam usaha mencegah masalah jenayah yang berlaku di negara kita. Selain langkah drastik, kerajaan turut menggunakan pendekatan psikologisebagai alternatif dalam mengurangkan masalah jenayah, khasnya dalam kalangan remaja. Walaupun pendorong kepada peningkatan jenayah berat merupakan golongan dewasa seperti pembunuh upahan dan seumpamanya, golongan remaja juga perlu disuntik dan ditanam dengan ajaran moral dan pegengan akidah yang utuh untuk memastikan agar mereka tidak cenderung ke arah melakukan jenayah, bak kata pepatah, “melentur rebung biarlah dari rebungnya”. Penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam di peringkat sekolah akan dapat mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat yang berkiblatkan kasih sayang dan perpaduan. Hal ini secara implisitnya dapat menyemai nilai murni dan ajaran agama yang kukuh dalam jiwa pelajar agar mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes jenayah. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan sejak tahun 2004 oleh pihak kerajjan, yang berobjektifkan melahirkan modal insan yang berintegriti juga merupakan langkah yang efisien dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Dengan adanya pendekatan psikologi ini, pelajar akan meletakkan perpaduan dan keamanan negara sebagai keutamaan. Hal ini penting dalam mengurangkan masalah jenayah dalam kalangan masyarakat.
 

Secara tuntasnya, masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi perlu diatasi sebelum nasi menjadi bubur. Berleluasanya kes jenayah seperti pembunuhan kejam adik Nurul Jazlin Jazimin, 8 tahun yang mati akibat didera secara seksual dan fizikal serta kes kehilangan adik Sharlinie Mohamad Nasyar hanya akan menggugat dan menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang aman dan sejahtera. Justeru, rakyat perlu lebih proaktif dan berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi aur dengan tebing bagi membanteras jenayah di negara kita.